Wednesday, April 8, 2009

Terserlah Kewibawaan Dato Seri Ir Hj Nizar.

Oleh Ahmad Lutfi Othman


:: Mesej Bukit Gantang ::
Ia bukan sekadar kemenangan berganda (sebenarnya di Semenanjung sudah 4-0, bermula Permatang Pauh, Kuala Terengganu, seterusnya Bukit Gantang dan Bukit Selambau), tetapi kejayaan Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dalam pilihan raya kecil ini lebih terasa manis dan lazatnya.

Memang cukup mendebarkan. Ya, persaingan yang sengit dan sukar diramal. Malah lebih ramai menjangkakan Nizar bakal kecundang ekoran tidak mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu. Isu-isu seperti tohmahan menjadi "boneka DAP" dan "sembah derhaka" dibimbangi berjaya mempengaruhi pengundi untuk kembali menyokong BN. Tidak sedikit teman-teman yang turun berkempen di Bukit Gantang meluahkan rasa curiga terhadap kemampuan Nizar untuk memenangi hati pengundi Melayu. "Ada kawasan Melayu yang kita langsung tak dapat masuk untuk berkempen. Malah, banyak rumah yang menaikkan bendera Umno dan BN. Jentera BN juga agak agresif berkempen," lapor wartawan Harakah Perak. "Tak ramai orang yang hadir dalam program ceramah kita," tambahnya lagi.


Di samping itu, kehadiran Dr Mahathir Mohamad di hari akhir kempen pula dikatakan boleh menyebabkan pengundi bukan Melayu memikirkan semula sokongan terhadap calon Pakatan Rakyat. Tidak kurang juga yang membayangkan "situasi terburuk" jika ada pengundi yang terpengaruh dengan beberapa langkah awal Dato' Seri Najib Razak, yang baru empat hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Saya pula memang tidak suka meletakkan harapan tinggi kepada sesuatu impian bimbang kecewa akhirnya.

Dibandingkan dengan debar pilihan raya kecil Kuala Terengganu, saya kira Bukit Gantang lebih mencemaskan lagi. Pertama, ia kerusi yang PAS pertahankan. Kedua, sejak awal kita sudah isytiharkan keputusannya nanti melambangkan referendum seluruh rakyat Perak terhadap krisis politik dan perlembagaan yang tercetus awal Februari lalu. Tidak dapat saya bayangkan apa akan terjadi sekiranya Nizar dikalahkan, seolah-olah ini pertandingan hidup atau mati.

Pendek kata, jika berjumpa sepuluh orang yang balik berkempen dari Bukit Gantang, atau sekadar membuat tinjauan rambang di sana, lebih separuh daripadanya tidak meletakkan harapan tinggi PAS dapat mengekalkan kerusi berkenaan. "Saya hanya menyandarkan impian kepada ketokohan Nizar semata-mata, dari sudut lain, terutama kepada pengundi Melayu, saya benar-benar bimbang," kata seorang kawan.

"Bukankah semasa penamaan calon baru-baru ini, jumlah penyokong Pakatan jauh lebih ramai," saya cuba menduganya. "Itulah masalahnya, kita sudah melepasi kemuncak. Selepas hari penamaan calon, 29 Mac, kita terus merosot," reaksi pantas kawan saya itu menambahkan lagi kerisauan.

"Saya pula tak pasti apakah Nizar kini menjadi asset atau liabiliti kepada kita di Bukit Gantang. Tuduhan dia boneka DAP atau jual tanah kepada orang Cina menyebabkan pengundi Melayu meraguinya," kata seorang lagi kawan.

"Kalau setakat dua isu itu, tak payah susah hatilah, kita ada fakta konkrit yang cukup untuk menyanggahnya," saya pula cuba mententeramkan hati mereka dan sekali gus menenangkan gelodak rasa saya sendiri. "Ini bukan soal fakta, ini soal sentimen dan persepsi," balas seorang daripada mereka.

Rupanya kadang-kadang kita sendiri terkeliru untuk membaca realiti sebenar di lapangan. Pengamat politik juga boleh tersilau sehingga membuat rumusan yang agak terpesong, sedangkan para pengundi, khususnya generasi di bawah 50 tahun, sudah melangkah ke dunia politik baru. Emosi mereka tidak mudah lagi dipancing dengan sentimen perkauman atau dakyah politik lama yang dangkal dan hodoh itu.

Apatah lagi sosok tubuh Nizar yang karismatik dan kini menjadi ikon baru itu sudah cukup untuk mematikan segala tohmahan tidak berasas, sebaliknya menyuntik keyakinan baru yang luar biasa kesannya kepada rakyat Perak. Ketokohan Nizar sudah melangkah melampaui sempadan negeri dan bersedia untuk menawan hati audien yang lebih luas di seluruh pelosok negara.

Kemenangan calon PAS dan KeADILan, masing-masing di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, dengan majoriti lebih besar, pastinya membuatkan tidur Najib pada malam Selasa lalu terganggu. Ia satu mesej jelas penolakan akar umbi terhadap kepimpinan beliau yang cuba untuk melakukan kejutan dengan beberapa pembaharuan kosmetik pada hari pertama dinobatkan sebagai Perdana Menteri keenam.

Membebaskan 13 tahanan ISA (dan terus mengurung tahanan yang lebih lama tersiksa di Kamunting) serta menarik balik penggantungan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan (serta mengekalkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, juga peraturan karut-marut yang dikenakan ke atas semua lidah rasmi parti) jelas tidak berupaya untuk mengelirukan rakyat yang semakin benci dan muak dengan pendekatan politik lama. Bukankah orang masih ingat, itulah juga yang dilakukan Dr Mahathir ketika mula-mula dilantik menjadi perdana menteri? Tindakan Najib hanya memperkukuhkan tanggapan umum bahawa era Mahathirisme seolah-olah sekali lagi bakal mencengkam tanahair tercinta.

Apa pun telahan yang dibuat, senario politik Malaysia selepas tsunami pertama pada Mac 2008 menjadi semakin menarik. Ia tidak mungkin berpatah balik ke era lama, seperti yang cuba diusahakan Dr Mahathir. Pilihan Najib semakin terbatas. Peluangnya untuk mewariskan takhta di Seri Perdana kepada pemimpin Umno-BN nampak tipis. Terpulang kepada pemimpin utama Pakatan Rakyat untuk mengisi kekosongan ini ... (Ahmad Lutfi Othman akan mengupas isu terkini di dalam blog beliau,layari blog beliau di http://jiwapejuangkini.blogspot.com/ )
Baca Seterusnya......

Tuesday, April 7, 2009

Menanti Isyarat Istimewa 2 Bukit,1 Batang..

Hari ini hari mengundi buat tiga kawasan pilihan raya kecil. Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai mencatat sejarah. Ketiga-tiga kawasan ini mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri dalam lanskap politik tanahair. Begitu juga dengan negeri Perak, Kedah dan Sarawak.

Ia bukan sekadar memilih Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri. Pilihan raya ini jauh lebih penting daripada mengundi wakil rakyat baru.Kepada Dato' Seri Najib Razak, Perdana Menteri ke-6 yang baru mengangkat sumpah, kemenangan BN pada ketiga-tiga kawasan berkenaan cukup penting untuk menyuntik semangat menebus kekalahan dalam dua pilihan raya kecil sebelum ini.

PAS juga perlu menang di Bukit Gantang bagi membuktikan rakyat Perak menolak budaya politik rimba rampasan kuasa Februari lalu apabila kerajaan Pakatan Rakyat dijatuhkan secara tidak bermaruah. Lebih ironis lagi apabila gerak kerja BN itu didalangi Najib sendiri.Selepas Perak, BN cukup mengimpikan untuk menawan semula Kedah. Justeru, Bukit Selambau mempunyai keistimewaan tersendiri.

Ia juga satu petanda awal sama ada pengundi bukan bukan Melayu, khususnya masyarakat India, masih kekal menolak BN, seperti yang ditunjukkan secara nyata dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008, atau sudah kembali lunak untuk menyokong BN.

Keputusan malam ini juga memberi petunjuk tersendiri terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Kedah pimpinan Ustaz Azizan Abdul Razak.Menjelang saat-saat akhir hari mengundi, ramai bimbang dengan kecenderungan pengundi Melayu di Bukit Gantang.

Ada yang beranggapan segala tohmahan terhadap Nizar, misalnya dakwaan beliau boneka DAP dan menjual tanah kepada orang bukan Melayu, boleh mempengaruhi pengundi Melayu. Apakah jika Nizar kalah, maka segala perjuangannya untuk mendapatkan kembali jawatan Menteri Besar Perak berkubur begitu sahaja?

Apakah jika Nizar tidak terpilih sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang maka ia bermakna majoriti rakyat Perak juga menolak beliau?

Kempen untuk 2 bukit dan 1 batang terus membuktikan bahawa Umno-BN di bawah Najib tetap tidak bersedia untuk menyediakan padang permainan yang sama rata. Ia dipenuhi dengan budaya politik rimba BN, yang sarat dengan ugutan-ancaman dan tawaran-rasuah.

Lihat saja bagaimana TV1 menyiarkan secara langsung ucapan Dr Mahathir ketika berkempen di Bukit Gantang. Di mana etika dan tatasusila dalam sebuah negara demokratik apabila kemudahan awam diperalatkan semahunya untuk kepentingan politik BN?

Ini bermakna kita langsung tidak boleh meletakkan harapan bahawa Najib bakal membawa perubahan, selaras dengan beberapa tindakan awalnya mengenai penahanan ISA dan permit penerbitan Harakah, Suara Keadilan.
Menang atau kalah memang adat pertandingan. Cuma, yang disesali jika pertandingan itu dicemari dengan elemen tidak demokratik, rasuah, ugutan, ancaman, dan salahguna kuasa. Sampai bila kita harus menunggu untuk melihat pilihan raya di negara kita dapat dijalankan secara adil, telus dan bebas?
Sepatutnya dengan peralihan kepimpinan baru, proses demokrasi Malaysia menjadi semakin matang dan diperkukuhkan lagi dengan nilai-nilai budaya politik baru. PAS boleh saja menerima kekalahan jika itulah yang dikehendaki rakyat, dan ia harus menilai di mana kelemahan bagi memastikan untuk pilihan raya berikutnya ia dapat diterima majoriti rakyat. Namun yang dikesalkan jika padang permainan tidak sama rata dan pengadilnya bersikap berat sebelah.PAS juga harus meneliti mesej yang hendak disampaikan pengundi melalui keputusan malam ini. Mungkin PAS terus dapat mengekalkan kemenangan, tetapi dengan undi yang diperolehinya nanti, banyak perkara yang boleh dirumuskan demi kelangsungan perjuangan Islam seterusnya. Kita harapkan proses pengundian hari ini berjalan baik, insya Allah.




laman web http://jiwapejuangkini.blogspot.com/ juga merupakan blog Ahmad Lutfi Othman
Baca Seterusnya......

Monday, April 6, 2009

Hujjah dirampas, Harakah dikembalikan; apa muslihat Najib?


MEMANG satu sejarah pun. Harakah yang digantung penerbitan selama tiga bulan bermula 23 Mac - hari gelita kebebasan akhbar Malaysia - tiba-tiba pada malam 3 April, Perdana Menteri baru, Dato' Seri Najib Razak melalui kenyataan ringkas di TV, mengumumkan arahan itu ditarik balik.
Tepat jam 8.20 malam, kami menerima faks surat Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar yang memaklumkan keputusan menarik balik penggantungan itu berkuatkuasa serta-merta.
Panggilan telefon SB
Sedangkan pada jam 9 pagi, hari yang sama, saya menerima panggilan telefon daripada seorang anggota polis Cawangan Khas (SB) Bukit Aman yang memberitahu bahawa akhbar tidak berkala, Hujjah - yang kami terbitkan sebagai alternatif kepada Harakah - perlu diambilnya bagi tujuan siasatan.
Dalam masa sama, saya menerima SMS, "1350 naskhah Hujjah dirampas di Bukit Mertajam atas kesalahan melanggar Seksyen 5(1) dan 11(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984".
Pencetak di Shah Alam pula memberitahu bahawa selepas solat Jumaat, unit penguatkuasa bahagian kawalan penerbitan, KDN akan mengunjungi premis mereka.
Sebelum itu, saya sudahpun mencetak ratusan ribu risalah mengecam langkah "bacul-penakut" KDN menggantung penerbitan Harakah, anggaran sebanyak 25 keluaran. Sebahagian kecil daripadanya, termasuk stiker dan poster, telah diedar kepada orang ramai sewaktu kami menghadiri perhimpunan raksasa 50,000 orang pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Bukit Gantang, di Taiping.
Ramai juga yang memesan kemaja-T "bebaskan Harakah" yang kami pakai pada hari itu. Mereka tertarik untuk turut sama berkempen membebaskan Harakah. Saya sekadar dapat berjanji untuk memenuhi harapan mereka yang ternyata begitu bersemangat.
Namun, Najib lebih licik dan, untuk pusingan pertama, mungkin dapat memintas kami. Ketika ramai orang marah dan imejnya semakin memburuk, beliau memilih untuk membuat pengumuman awal, pada hari beliau mengangkat sumpah jawatan PM, bahawa penggantungan Harakah dan Suara Keadilan ditarik balik serta-merta.
Taktik Najib sudah ditelah
Sebenarnya rakan-rakan media saya telah menduga taktik Najib ini beberapa hari lalu. "Selain mahu memulihkan imejnya, Najib akan pastikan tiga pilihan raya kecil 7 April, terutama Bukit Gantang dimenangi BN," kata seorang editor kanan sebuah akhbar harian terkenal.
Bukit Gantang, kata rakan saya itu, jauh lebih penting kepada Umno-Najib berbanding Bukit Selambau, apatah lagi Batang Ai. ia satu referendum, atau pungutan suara rakyat terhadap pemerintahan Najib. Lagi pula Najib adalah Pengerusi Perhubungan Umno Perak yang bertanggungjawab secara langsung dalam operasi tidak bermoral rampasa kuasa, awal Februari lalu.
Dari sudut lain, langkah menyekat Harakah dalam zaman internet ini langsung tidak membawa kesan besar. Apatah lagi terdapat ruang dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang membenarkan penerbitan bahan tidak berkala, iaitu yang diterbitkan hanya sekali.
Saya ada pengalaman tersendiri apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penerbitan akhbar Haraki tidak bercanggah dengan undang-undang kerana ia diterbitkan sekali sahaja.
Desakan rakyat juga tinggi, amarah pembaca Harakah sukar dibendung dan Najib tiada pilihan melainkan cuba mempamerkan imej lebih terbuka sepertimana ditunjukkan mentornya, Dr Mahathir Mohamad ketika mula menjadi Perdana Menteri, 1981. (Mahathir masuk semula Umno selepas Najib dilantik PM dan Abdullah yang "dibencinya" tidak lagi Presiden Umno).
Bagaimanapun, masih banyak sekatan ke atas Harakah yang perlu ditarik balik, antaranya syarat-syarat ketat jualan dan isi kandungan yang cukup terbatas. Najib harus bersedia untuk memansuhkan segala peraturan yang karut-marut itu. Saya perlu ruang selesa untuk membahaskan hal ini ... _
Baca Seterusnya......

Thursday, March 26, 2009

Arahan Najib dan jerat Harakah

Penggantungan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan memang mengejutkan. Saya juga pelik memikirkan rasional di sebalik tindakan tidak bertamadun itu, terutama dalam konteks kepentingan Umno-BN yang kini "menggelepar", apatah lagi ketika berdepan tiga pilihan raya kecil yang cukup kritikal itu?
Walaupun momentum Permatang Pauh dan Kuala Terengganu mesti disekat tetapi jalan yang dipilih boleh mengundang padah yang lebih celaka. Zaman sudah berubah namun Umno kekal sombong dengan pendekatan usang yang memerangkap diri. Menutup akhbar adalah langkah primitif si bacul yang gentar untuk bersemuka dengan kebenaran. Ia hanya membayangkan kekerdilan jiwa, kemandulan idea, kelemahan daya tahan dan manifestasi minda tertutup kelas tiga.

Sukar dibayangkan, di zaman langit terbuka, maklumat mudah dipetik di hujung jari, kemudahan jalur lebar internet dimantapkan dengan dana besar kerajaan, tiba-tiba pemerintah mengambil sikap bebal menolak keterbukaan. Lebih malang apabila sanggup berbohong dan berdalih palsu, semata-mata mahu menegakkan benang basah.

Gantung tiga bulan - mendekati 100 hari - merupakan satu tempoh yang terlalu panjang bagi sebuah akhbar. Selama ini Harakah terbit mengikut jadual termasuk di zaman Dr Mahathir Mohamad. Harus diingat permit Harakah diberikan pada 1 Mac 1987, ketika Umno bergolak hebat, di ambang kehancuran. Malah, apabila Mahathir menambah kekerapan Harakah daripada sekali seminggu kepada dua kali seminggu, pada 18 Jun 1990, negara bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum yang agak kritikal buat Umno apabila Tengku Razaleigh Hamzah berjaya membentuk pakatan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat. Justeru, adalah silap besar jika Najib Razak merasakan sokongan terhadap Umno dapat dipulihkan jika seteru politiknya dikuburkan terlebih dahulu.

Pendekatan mendera Najib hanya membawa mesej negatif yang sama sekali tidak menguntungkannya. Umno memang perlukan perubahan segera, jika tidak ia sendiri akan diubah oleh rakyat dengan mengalihkannya daripada kerusi kuasa. Anehnya, selepas setahun dikejutkan tsunami 8 Mac 2008, Umno bukan sahaja membeku di takuk lama, malah nampak semacam mereput. Saya ramalkan Najib mungkin akan dikenang sebagai Perdana Menteri BN yang terakhir. Alasannya, anak Tun Razak ini masih terikat dengan mentaliti lama dan takut bersaing dalam gelanggang terbuka. Dan anak-anak muda sedang memerhatikan gelagat Najib sambil memberi markah atas upaya dirinya.

Secara peribadi, agak lama juga saya tidak aktif dalam kerja-kerja mempromosi kebebasan media. Namun, penggantungan Harakah bagai menyentak rasa peduli saya terhadap usaha membebaskan segala belenggu yang merantai dunia kewartawanan. Tindakan KDN itu, yang cuba dijustifikasi menterinya, Syed Hamid Albar perlu diberi sanggahan secukupnya, biar bergemerincing paluan gendang perang sebagai muzik latarnya. Syed Hamid mendakwa Harakah dan Suara Keadilan memutar belit fakta, mengelirukan maklumat dan percubaan menyuntik perasaan benci orang ramai terhadap kerajaan dan pemimpin. "Pegawai KDN beberapa kali memanggil dan menasihati mereka tetapi kelihatan ia terus menggunakan cara keterlaluan untuk mempromosi ideologi politik," tambahnya.

Meneliti daleh Syed Hamid itu, saya bimbang beliau tidak bercakap benar atau tidak mendapat maklumat tepat dari pegawainya. Kami kerap dipersalahkan kerana menjual Harakah di tempat awam kepada bukan ahli PAS dan kandungan Harakah sendiri yang memaparkan juga bahan-bahan selain berita PAS. Syarat "karut" itu, bagi saya, harus digugurkan. Kempen mesti dilancarkan di seluruh negara bagi membuang segala peraturan "tidak munasabah", sekali gus menggesa agar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dimansuhkan. Mungkin kempen 2 bukit dapat dijadikan landasan kukuh untuk menyedarkan rakyat tentang undang-undang "karut-marut" ini.

Bagaimanapun, dalam masa tiga bulan ini, kami akan mencari jalan keluar dengan terus menerbitkan tabloid tidak berkala, selain lebih aktif mengemaskinikan Harakahdaily. Kami cuba membuktikan bahawa Najib sebenarnya silap besar menggantung Harakah. Episod ini pasti sukar dilupakannya jika kemudian hari nanti ternyata benar Umno terlungkup di zaman pemerintahannya dan beliau mencatat rekod sebagai Perdana Menteri BN yang terakhir. _
Baca Seterusnya......

Penggantungan Harakah, tembakan pemedih mata dan pencalonan Nizar

ISNIN 23 Mac, hari bergelora. Meskipun tiada hujan, namun langit kelabu. Sejak Harakah dilancarkan 22 tahun lalu, tiada detik sukar seperti petang itu.

Tepat jam 4.55 petang, faks dari Bahagian Kawalan Penerbitan, Kementerian Dalam Negeri, memancung keheningan pejabat. Saya agak keletihan, baru pulang dari Putrajaya. Fikrah Harakah edisi Isnin menunggu untuk diisi. Bahan belum mencukupi.

Sebaik keluar lif di tingkat dua, rakan wartawan Nyza Ayob menyapa: "Dah tengok surat KDN?' Tanpa menjangka sesuatu yang buruk bakal berlaku, saya hanya menggeleng. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja debar jantung berdegup kencang.

"Harakah kena gantung tiga bulan!" Maklum Nyza, masih tersenyum. Bagi saya, ia bagai petir menyambar. Surat ringkas dua perenggan hanya memaklumkan KDN menggantung permit lidah rasmi PAS yang kini sudah dianggap akhbar alternatif no. 1 itu, selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta.

Terdetik di hati, "masakan secepat itu, bukankah baru kelmarin Pengarah Urusan, Dato' Kamarudin Jaffar menelefon pegawai KDN menjelaskan isu surat tunjuk sebab dari KDN?"
Segera saya memanggil pembantu, Atriza Umar, mencarikan surat bertarikh 26 Feb lalu, yang ditandatangani Che Din Yusoh. Saya mahu dapatkan nombor telefon bimbitnya -- sambil menahan sabar -- untuk mendapatkan penjelasan. Ya, mengapa KDN harus tergesa-gesa sekali? Dunia belum kiamat. Umno belum terlungkup.

Bukankah selama ini KDN banyak melakukan kesilapan dalam membuat keputusan, sehingga terpaksa menarik balik, atau dalam beberapa kes tahanan ISA, antaranya membabitkan seorang wartawan wanita sebuah akhbar Cina, harus membebaskan segera selepas memberikan alasan penahanan yang tidak masuk akal.

Memang KDN tidak belajar dari kesalahan walaupun menterinya bertukar, perdana menteri bergilir.

Perbualan saya dengan Che Din tidak wajar dirakamkan di sini. Nokhtah.

Saya mula berkhidmat di Harakah seawal seminggu sebelum Harakah sulung diterbitkan, April 1987. Walaupun keluar-masuk Harakah lima enam kali, rasa saya tidak pernah sekalipun Harakah gagal diterbitkan atas halangan KDN, waimma satu keluaran.

Apa yang tidak disebut tentang "kediktatoran" Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri dan menteri dalam negeri? Namun beliau hanya mencantas kekerapan Harakah, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Dalam era reformasi yang memuncak itu, ketika edaran Harakah meningkat daripada 60,000 naskhah sehingga mencecah 400,000 naskhah, dan Mahathir cemas menghadapi pilihan paling getir baginya, 1999, tetapi Harakah tidak pernah diganggu seteruk ini.

Memang jualannya dihadkan kepada ahli PAS di premis parti sahaja dan kandungannya ditekankan agar mematuhi skop dan konsep yang diluluskan, iaitu hanya memuatkan berita dan rencana yang berkaitan PAS sahaja, tetapi arahan gantung, apatah lagi selama 3 tahun - satu tempoh yang relatif panjang - tidak pernah dikuat-kuasakan.

Abdulah Ahmad Badawi pula, selepas kalah lebih teruk pada 8 Mac 2008, yakni lebih buruk berbanding prestasi Mahathir pada Nov 1999, namun beliau tetap menerima permohonan PAS untuk mengembalikan kekerapan Harakah kepada dua kali seminggu. Ada tanda jiwa besar di situ.

Lalu, bahana siapakah yang mencetuskan onar sedahsyat ini? Menterinya masih Syed Hamid Albar, Abdullah tetap PM, tapi siapakah yang mahu percaya dengan dakwaaan bahawa tindakan zalim ini bukan didorong oleh kepentingan politik yang cukup sarat? Zaman sudah berubah. Dunia semakin telus. Media baru membentuk realiti.

Tanpa perlu berpakat, semua mata tertumpu kepada Najib Razak. Tuduhan ditujukan kepadanya. Beberapa hari lepas saya menelefon Zunar, Ketua Pengarang Suara Keadilan, memberitahu Harakah kena surat tunjuk sebab, atas alasan teknikal yang lazim digunakan.
Zunar menyanggah tanggapan bahawa Najib akan secepat itu "main kasar" dengan akhbar alternatif. Saya boleh bersetuju dengan Zunar. Kami langsung tidak terlintas Najib akan melakukan perbuatan sehodoh ini.

Malamnya, selepas makan di Restpran Haslam, saya mendapat SMS daripada Azizi Hj Abdullah: "Belum apa-apa gas dan water canon dah disembur di Padang Awam Cinta Sayang, Sungai Petani malam ini. Dajai. Habis cempera."

Saya terus hubungi wartawan Kedah, Izwan Abdul Halim. Dari jauh, suara Izwan serak, macam menanggung pedih disembur gas pemedih. Segera saya putuskan talian. Darah menyirap lagi.
Nampak jelas penggantungan Harakah, Suara Keadilan memang dirancang untuk menghadapi situasi sulit BN terutama pilihan raya kecil dan perhimpunan Umno yang penuh rasuah itu.
Mujur ada berita menyejukkan hati. Ir Mohamad Nizar Jamaluddin dipilih calon PAS Bukit Gantang. Peluang Nizar terbuka, tapi tidak boleh diremehkan potensi menang BN. Ini pilihan raya paling kritikal buat Umno. Banyak peluru yang disimpannya. Kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu bukan indikator segalanya cerah di sini.

Memang Nizar aset terbaik bagi menguji penerimaan rakyat Perak atas kemelut yang berkecamuk di negeri itu.

Sama-samalah kita bergelut dalam pesta demokrasi yang serba pincang ini, ya ... walaupun mungkin tanpa Harakah, berdepan tembakan gas pemedih mata, dan 'kesamsengan' jentera BN di bawah pengarah barunya ini, sambil mengharapkan ada kewarasan bagi membetulkan keadaan. _
Baca Seterusnya......

Perdana Menteri BN yang terakhir

Dari awal, saya memang tidak tertarik dengan teori konspirasi dalam Umno, apa lagi terhadapdakwaan bahawa Abdulllah Ahmad Badawi kemungkinan besar tidak akan menyerahkan jawatan tertingginya dalam kerajaan kepada Najib Razak selepas perhimpunan agung Umno nanti. Abdullah bukannya seorang tokoh yang bersedia mendepani cabaran dan gugatan sehingga sanggup bertahan dengan prinsip yang didokong. Beliau kelihatan mudah tunduk dengan tekanan dan suka mengelak daripada bertembung dalam suasana lebih sukar.

Sudah ditakdirkan Abdullah menjadi Perdana Menteri dalam tempoh yang relatif singkat. Bermula dengan kejutan menang besar dalam pilihan raya umum 2004, Abdullah juga terkejut besar dengan tsunami politik 8 Mac 2008 yang memaksa dirinya berundur lebih awal. Sukar hendak dipastikan legasi tinggalannya yang menjadi kenang-kenangan generasi akan datang. Kalau projek Islam Hadarinya pun sudah dilupakan -- malah tidak difahami rakyat -- ketika beliau masih seorang Perdana Menteri, maka apa lagi mahu diharapkan dengan program lain yang diperkenalkannya. Namun begitu, beberapa langkah awal Abdullah untuk membenarkan Malaysia lebih menikmati suasana keterbukaan dan demokratik, mungkin akan dihargai satu masa nanti.

Sejak hari-hari pertama Abdullah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Najib bukan pilihan utama untuk dilantik sebagai timbalannya. Beliau mengambil masa agak panjang, itu pun selepas "dipaksa" Dr Mahathir Mohamad, bagi memilih Najib. Orang lebih suka mengaitkan Muhyiddin Yassin -- yang juga dilihat rapat dengan Anwar Ibrahim -- sebagai tokoh yang wajar digandingkan bersama Abdullah. Bagaimanapun, siapa menyangka Muhyiddin kemudiannya menjadi tokoh paling lantang menolaknya ke tepi dinding dan memaksa Abdullah mempercepatkan pelan peralihan kuasa. Ternyata dari segi ini, Najib terhutang budi kepada Muhyiddin.

Semua sepakat bahawa imej Najib sebagai bakal perdana menteri begitu suram dan mendung. Bebannya menanggung pelbagai tuduhan dan dakwaan nampak berat dan meletihkan. Sepatutnya beliau melangkah masuk Seri Perdana dengan sorak-sorai yang bergemuruh, dengan harapan baru rakyat yang menggunung. Itulah suasananya ketika Tun Abdul Razak dan Dr Mahathir mengambil alih kuasa, malah begitulah juga sambutan luar biasa rakyat sewaktu Abdullah memulakan beberapa langkah pembaharuan. Bukan sahaja Najib dicurigai, tetapi lebih buruk lagi, isterinya, Rosmah Mansur turut "digeruni". Ia sudah tentu suatu perkembangan yang menyedihkan, bukan sekadar buat pasangan suami-isteri ini, malah kepada negara ini seluruhnya.

Abdullah tiada pilihan kecuali meneruskan pelan peralihan kuasa walaupun mungkin kini beliau menyedari Najib dan isterinya merupakan satu bebanan berat buat negara. Sudah terlalu lewat untuk Abdullah mencari jalan keluar dan beliau pula sememangnya tidak berkeupayaan menyanggah arus biarpun jika berbuat demikian beliau akan mendapat sokongan majoriti. Personalitinya tidak cukup kuat untuk membawa -- apatah lagi menjayakan -- suatu misi perubahan. Di kala mendapat sokongan hebat pada 2004, Abdullah mensia-siakan peluang terbaik itu, seolah-olah beliau hanya mahu menjadi seorang perdana menteri yang paling seronok ketika memerintah, sekadar bersantai memperagakan diri. Hanya ketika di hujung pemerintahannya, Abdullah nampak begitu tergesa-gesa untuk mencari sentuhan bermakna, tetapi ia sudah cukup terlewat.

Jika Abdullah boleh dianggap malang, nasib Najib sebagai pengganti lebih tidak keruan. Bayangkan sahaja, anak-anak kecil pun sudah mempersoalkan wibawanya untuk menerajui negara, apatah lagi untuk memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa. Beberapa kes mutakhir, misalnya rampasan kuasa di Perak, semakin menunjukkan belang Najib yang menakutkan itu. Ia langsung tidak membantu Najib untuk memulihkan imejnya yang sedia buruk. Bayangkan sahaja jika BN kalah di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, reputasi Najib terus menjunam dan ini menyukarkan beliau untuk memimpin negara keluar dari suasana kemelesetan dan ketidak-tentuan. Ya, mungkin segalanya diatur bagi menyempurnakan Najib sebagai perdana menteri terakhir dari BN. _
Baca Seterusnya......

PPSMI: Lemahnya Abdullah, sampai ke akhir ...

Demonstrasi 100,000 rakyat menuntut agar rancangan "pelik, aneh dan bengap" Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sememangnya berjaya dengan cemerlang sekali.

Sekalung tahniah buat pihak penganjur yang mengatur persiapan rapi sejak awal, juga para pejuang bahasa, aktivis budaya, pemimpin politik dan sudah pasti orang ramai, termasuk pelajar-pelajar sekolah yang bersedia dikejar anggota FRU dan ditembak gas pemedih mata, semata-mata bagi merakam sejarah baru era perjuangan bahasa yang lebih mencabar.

Kehadiran cukup memberangsangkan. Lautan manusia, walaupun terpecah-pecah kerana disuraikan polis secara ganas, bukan sekadar mahu menyampaikan mesej jelas-tegas buat pemimpin kerajaan BN, malah mereka bertekad tinggi untuk melakukan perubahan menyelamatkan masa depan anak bangsa. Mereka sedar penguasa sombong-angkuh BN selalunya sukar memahami bahasa lunak melalui diskusi, perbincangan meja bulat atau memorandum yang dikarang indah.

Justeru, perarakan raksasa 7 Mac lalu boleh dianggap langkah awal sementara menantikan respons sewajarnya, sebelum tindakan lebih berkesan melalui peti undi dapat dibuat kurang lebih tiga tahun lagi.

Ada pihak menyifatkan himpunan petang Sabtu itu satu kebangkitan menyeluruh umat Melayu (tanpa mengetepikan ia turut dimeriahkan oleh pelbagai NGO dari masyarakat Tionghua dan India) dan petanda penolakan mereka terhadap Umno yang terbukti telah "menjahanamkan" bangsa, agama dan negara. Orang Melayu dalam pilihan raya ke-12 lalu masih meninggalkan sisa-sisa sokongan buat Umno, namun parti berkenaan jelas "tidak mengenang budi".

Jerit derita orang Melayu tidak dihiraukan, malah diremehkan. Lihat saja layanan pemimpin Umno terhadap gema suara tokoh-tokoh Melayu, misalnya Sasterawan Negara A Samad Said dan bekas Ketua Pengarah DBP, Dr Hassan Ahmad.

Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussein bukan sahaja tidak mengambil berat bantahan tokoh-tokoh ini terhadap PPSMI, tetapi turut membuat tohmahan melulu bahawa mereka diperalatkan oleh pembangkang. Ya, selepas Umno menutup pintu daripada mendengar kritikan-teguran para pejuang bahasa ini, yang sarat dengan hujah bernas dan argumen konkrit, pemimpinnya bertindak liar menghamburkan penghinaan, sehingga rombongan menghadap Yang di-Pertuan Agong pun ditembak gas pemedih mata secara sembrono dan membabi-buta.

Lalu, diulang-tayang propaganda tujahan media bahawa pihak yang didakwa mencetuskan keganasan adalah peserta himpunan atau penunjuk perasaan, walhal mereka sebenarnya yang menjadi mangsa. Semuanya taktik lapuk dan usang yang terbukti selama ini telah memakan tuan. Rakyat makin muak dan jelak, seperti marahnya mereka dengan rampasan kuasa di Perak dan bagaimana paparan media terhadap drama berkenaan.

Lebih aneh, Abdullah Ahmad Badawi yang bakal bersara beberapa hari lagi bersuara lemah memohon Kementerian Pelajaran supaya disegerakan keputusan yang wajar bagi mengelakkkan tercetusnya isu lebih besar pada masa depan. Laihnya Abdullah seolah-olah jawatan Perdana Menteri bukan miliknya lagi.

Mengapa tidak digunakan kuasa eksekutifnya untuk mencabut dasar "gila" ini, yang mana ketika diperkenalkan dahulu langsung tidak pernah dirundingi biarpun ia bercanggah dengan Perlembagaan dan apa jua undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan? Ataupun Abdullah sudah dikepung dan "diikat kaki dan tangannya" oleh Najib Razak, sehingga terpaksa melutut meminta ehsan kepada Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin, yang juga sepupu Najib? Memalukan betul! Sedangkan ramai mengharapkan Abdullah mampu menjernihkan suasana yang dilihat serba buntu dalam tempoh kritikal ini. Ataupun Abdullah kini ibarat harimau kehilangan taring dan sudah dikerat kukunya.

Elok juga direnungi dua perenggan terakhir ucapan tokoh besar PAS, Almarhum Tan Sri Asri Muda, di bawah ini sewaktu menentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967) - yang terus mengagungkan bahasa Inggeris - di Parlimen, pada bulan Mac, 1967 di hadapan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abd Rahman. PPSMI pastinya lebih ganas dan merbahaya. Justeru, ia sewajarnya ditentang habis-habisan, sehebat mungkin, bagi memastikan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia dapat dipulihkan, selain penganiayaan terhadap anak-anak kita dapat dihentikan segera.

"Tuan Yang Dipertua, saya percaya, bahawa suara hati yang saya kemukakan di Dewan ini, itulah juga suara hati yang lahir daripada nurani tiap-tiap seorang anggota Dewan yang berjiwa dan bersemangat cintakan bahasa kebangsaan, cinta sejati, cinta bersih bukan cinta celupan, tetapi Tuan Yang Dipertua, keadaan yang mengikat dan kepentingan yang mengelilingi mereka itulah sahaja yang saya rasa mungkin menyebabkan mereka tidak berani membuat tentangan; hati membangkang, seradang-radangnya, mulut membungkam seribu bahasa, hanya tangan terangkat ke atas menyatakan setuju pada zahirnya, tetapi menyerah kalah pada hakikatnya.

"Akhirnya, Tuan Yang Dipertua, saya berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam Dewan ini nanti, tetapi, Tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa-dosa jenayah politik Umno yang telah begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu yang akan datang kelak." _
Baca Seterusnya......

8 Mac, setahun dulu

Keputusan pilihan raya umum 8 Mac 2008 memang satu kejutan, malah dianggap tsunami politik yang langsung tidak dijangka. Pakatan Rakyat (yang dibentuk kemudian) pun terkejut, apatah lagi BN, yang kehilangan empat negeri selain Kelantan dan dinafikan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Jika dirujuk siri pilihan raya kecil sebelumnya, ternyata ia menyebelahi BN. Misalnya pada November 2005 di Pengkalan Pasir, PAS dikecewakan dengan kemenangan psikologi BN sehingga majoriti di Dun tinggal satu kerusi! Di Batu Talam, Pahang, pada Januari 2007, PAS yang bertanding pada 2004 memulaukan pilihan raya kecil itu. Tiga bulan selepas itu, DAP kalah dengan majoriti lebih besar di Machap, Melaka.

Tidak lama kemudian, Ijok yang ramai pengundi India, menyediakan gelanggang mengukur pengaruh. Abdul Khalid Ibrahim tewas kepada K Parthiban, dengan majoriti 1,850 undi. Siapa sangka setahun selepas itu, Khalid yang diperolokkan oleh RTM dan TV3 kerana tersasul meminta pengundi menyokong BN, bukan sahaja menebus kekalahannya di Ijok, malah dilantik Menteri Besar Selangor apabila Pakatan menang selesa mengecewakan Dr Mohd Khir Toyo.

Mengisi kempen selama 13 hari, kami di Harakah turut memeriahkan pesta demokrasi itu. Kami juga mengusahakan siri makalah khas, Kempen, yang diedarkan percuma dan mendapat sambutan luar biasa, hingga dicetak jutaan naskhah. Dalam minggu pertama, perjalanan kempen agak lembab. Masuk minggu kedua, keadaan berubah secara drastik. Sokongan pengundi, terutama daripada masyarakat bukan Melayu begitu mengkagumkan, khususnya kepada PAS. Semuanya bagai satu keluarga besar, masing-masing bertekad mahu 'mengajar keangkuhan' BN.
Tohmahan buruk selama ini terhadap PAS hilang ghaib sekelip mata. Pada malam pilihan raya, semasa berhenti di kawasan R&R Sungai Perak, menuju utara, saya perhatikan beberapa gadis India turun dari kereta dengan menyelimuti badan mereka dengan bendera PAS. Seorang perempuan Melayu memakai jeans ketat dan kemeja-T pendek turut mengibarkan panji-panji PAS sambil menunjukkan tanda bagus kepada saya. Esoknya, hari mengundi, ramai sahabat dari Selangor menghantar SMS memaklumkan bahawa pengundi India memenuhi bangsal panas PAS untuk turut membantu di saat-saat akhir.

Malam 8 Mac, saya berada di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut semasa BN melutut kalah. Masya-Allah, tidak dapat digambarkan perasaan penuh syahdu ketika Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak berucap kepada penyokong. Laungan takbir yang tiada hentinya mengingatkan tanggungjawab besar yang sedia menanti. Bukan sahaja di Kedah, majoriti rakyat sememangnya dahagakan perubahan. Mereka menolak BN selepas memberikan peluang secukupnya, ya, selama 50 tahun. Tema negara berkebajikan dilihat memikat dan mengetuk hati pengundi, di samping perwatakan pemimpin yang mesra-rakyat dan sedia turun padang menyelami degup jantung golongan bawahan.

Pengalaman Pakatan Rakyat membentuk kerajaan negeri Perak pastinya lebih menarik. Wakil parti paling kecil memiliki kerusi Dun, yakni PAS, dipilih menjadi menteri besar. Kewibawaan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin diuji secukupnya. DAP yang menang semua kerusi Dun yang ditandinginya sederap langkah sedia bersama parti Islam dan KeADILan mengisi agenda tuntutan rakyat.

Bagi saya, keunikan jalinan mantap gabungan di Perak itu begitu indah dan menambahkan lagi keceriaan warna-warni politik Malaysia. Ketika sampai di Pejabat Perhubungan PAS Perak, jam 6 petang Jumaat, untuk mengadakan wawancara khas dengan Menteri Besar Nizar, saya perhatikan beliau agak serius berbincang dengan Pengerusi DAP Negeri, Ngeh Koo Ham, rasanya untuk pembahagian potfolio Exco. Riak muka mereka nampak seolah-olah ada banyak perkara yang belum dapat disepakati. Menariknya, perbincangan "empat mata" itu dijalankan di ruang depan pejabat, tempat orang lalu-lalang.

Selepas setahun banyak insiden suka-duka dirakam sejarah. Paling menghiris tentulah tragedi rampasan kuasa di Perak, yang kini membuahkan krisis berpanjangan. BN, terutama di bawah Najib Razak, begitu ghairah mahu menebus kekalahannya, tanpa mengira sebarang etika dan adab. Ia petanda Umno makin gawat dan tenat sementara menunggu satu lagi hukuman rakyat dalam pilihan raya umum ke-13.

Segala usaha "pemulihan" Umno-BN nampak gopoh dan menyerlahkan lagi bahawa "kebongkakan" sudah sebati dengannya. Kalau pun bukan kubur sendiri yang digali Umno, sekurang-kurangnya jurang dalam sudah tersedia untuk memerangkap. _
Baca Seterusnya......

Monday, February 23, 2009

SPRM, Khir Toyo dan Ahmad Said Hamdan

Apabila ketua Pembangkang di Dun Selangor, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo melakukan serangan terhadap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dua tiga orang pembaca menggesa agar saya memberikan reaksi. Mereka mahu saya menyerang balas Khir kerana, bagi mereka, saya mempunyai banyak "peluru" untuk ditujukan kepada calon Ketua Pemuda Umno itu.

Saya menjawab: "Semuanya cerita lama, saya sudah serahkan laporan lengkap, rasanya lebih daripada lima kali kepada BPR, sama ada di Putrajaya mahupun Shah Alam. Saya terbitkan akhbar tentang hal itu, ada yang dirampas, babitkan lebih 50,000 naskhah, kereta dipecahkan dan kemudiannya sakit hampir dua tahun!"

Bagaimanapun, apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikatakan mahu membanteras amalan rasuah, suatu jenayah paling merbahaya dan kronik, secara lebih serius dan menyeluruh itu, melalui Ketua Pesuruhjayanya, Dato' Seri Ahmad Said Hamdan membuat kenyataan bahawa terdapat bukti-bukti kukuh menunjukkan Khalid menyalahguna kuasanya berhubung penyelenggaran kereta peribadinya serta pembelian 46 lembu korban, saya dihubungi lebih ramai pembaca.

"Sudah sampai masanya saudara bongkar kembali kes-kes lama Khir Toyo, yang babitkan jauh lebih banyak wang rakyat dan pembayar cukai," tegas seorang pembaca yang mengaku mengikuti setiap laporan saya terhadap BPR. "Saya tidak mahu jadikan ia konflik peribadi berpanjangan," sambut saya. Pastinya saya yakin mereka tidak puas hati dengan jawapan mengelak itu.

Mengenali agak dekat karenah BPR ketika mula membuat laporan rasmi di ibu pejabatnya, di Putrajaya, pada 23 Oktober 2001, saya langsung tidak menaruh keyakinan bahawa badan itu boleh bertindak efektif memerangi rasuah dan salahguna kuasa, apatah lagi menyedari bahawa ia merupakan jenayah paling sukar untuk mendapat kerjasama saksi.

Selain itu, kes rasuah yang sering menjadi pendakwaan terpilih Jabatan Peguam Negara diperalatkan untuk kepentingan politik parti pemerintah, yang menguasai kerajaan pusat.

Sikap kakitangan BPR pula jarang menunjukkan mereka meraikan sumber yang bersedia memberi maklumat, terutama apabila berkaitan jerung-jerung besar yang dekat dengan serambi kuasa, sementalahan pula jika membabitkan tokoh-tokoh utama BN.

Kadang-kadang, belum pun kita melangkah keluar dari pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR), laporan kita sudah difaks kepada tokoh yang kita adukan kesnya itu. Jadi, mana-mana yang masih boleh "dibetulkan" tentulah akan diperbetulkan segera, selain menghilangkan bukti-bukti yang ada.

Saya bersetuju dengan pandangan sinis yang mengatakan BPR ada kalanya bertindak sebagai "badan yang membersihkan orang yang dituduh rasuah", bukannya agensi untuk memastikan setiap tuduhan, walaupun tidak dibuat secara rasmi, termasuk melalui surat layang, akan disiasat sampai "ke lubang cacing.

Malah, BPR lebih berminat untuk mengetahui dari mana sumber yang mendedahkan info rasuah itu kepada pengadu. Justeru, semakin kecillah bilangan warga prihatin yang mahu "menyusahkan diri" untuk memberi maklumat.

Rupanya hanya sekadar nama yang bertukar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tetapi perangai masih membeku di tahap lama. Lihat saja aduan rasuah kepada Abdul Khalid Ibrahim.

Difahamkan sekumpulan penyiasat SPRM berkampung di bangunan SUK, Shah Alam, mengesan apa jua bukti untuk menyabitkan Menteri Besar Selangor itu. Saksi-saksi dicari termasuk secara "ugutan". Nampaknya usaha dilakukan dengan "penuh minat" sehingga Ketua Pesuruhjayanya tidak sabar-sabar lagi mendedahkan hasil siasatan, sesuatu yang tidak berlaku selama ini.

Benar seperti kata peguam Khalid, Sankara Nair, tindakan SPRM itu, harus dipandang berat kerana anak guamnya - seorang ahli politik pembangkang - telah ditonjolkan agar kelihatan bersalah "di mata umum sebelum beliau didakwa dan didapati bersalah oleh mahkamah".

Saya cuba membayangkan, alangkah baiknya jika SPRM dapat bertindak proaktif, seperti dalam kes Khalid, kepada semua kes yang diadukan kepada mereka termasuk usaha sogokan membeli Adun-Adun Pakatan Rakyat bagi menumbangkan kerajaan-kerajaan negeri tertentu.
Banyak lagi nak diceritakan tentang kes rasuah ini ..._

(Pendedahan Ahmad Lutfi Othman, Ketika dahulu boleh didapati di laman web http://detik.daily.tripod.com/khir.htm )Baca Seterusnya......

Siapa lagi mangsa serangan hendap Najib?

Belum pun Dato' Seri Najib Razak secara rasmi mengambil alih teraju pemerintahan negara daripada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, pelbagai tragedi politik berlaku dalam tempoh yang cukup singkat. Semasa berucap di kediaman rasmi Menteri Besar Perak baru-baru ini, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan 30,000 orang yang hadir, merujuk terus kepada Najib: "Belum dapat kuasa sudah tunjuk jahat, hancur negara nanti kalau jadi PM."

Mengenali Ustaz Abdul Hadi, bukan mudah untuk beliau meluahkan "amarahnya" jika tiada sebab kuat untuk berbuat demikian. Najib dikaitkan dengan peristiwa "rampasan kuasa" di Perak sehingga meletakkan negeri itu dalam krisis perlembagaan yang turut mencederakan imej Sultan Azlan Shah. Beberapa percubaan untuk "membeli" beberapa Adun KeADILan di Kedah juga dikaitkan dengan Najib. Tidak pasti sama ada episod malang yang menimpa Adun Bukit Lanjan, yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong, trutut akan dikaitkan dengan "tangan-tangan ghaib" Najib.

Beban yang diheret Najib menuju Seri Perdana memang berat. Bagasi sejarahnya yang belum pun panjang itu sudah cukup untuk melukakannya. Mungkin beliau dilihat mempunyai personaliti politik yang lebih kuat berbanding Abdullah, namun persepsi umum terhadapnya begitu buruk. Kehilangan tiga Adun Pakatan Rakyat dan seorang Adun Umno yang berhijrah sebentar menyertai KeADILan, sehingga "tumbangnya" kerajaan negeri pimpinan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, tidak dapat dipisahkan dengan faktor Najib. Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam majlis ceramah yang sama dengan Ustaz Abdul Hadi menyifatkan Najib sebagai "suka melarikan suami orang" dan bertanggungjawab "mengghaibkan beberapa orang yang lain".

Ramai menjangkakan, sebaik sahaja Najib berkuasa penuh Mac ini, Malaysia bakal menyaksikan lebih banyak insiden politik yang mungkin jauh lebih tragis. Penyebaran gambar separuh bogel Elizabeth - yang dirakam secara curi semasa tidur di rumahnya sendiri - mungkin amaran awal bahawa setiap pimpinan Pakatan Rakyat bakal menjadi sasaran serangan hendap kumpulan "penembak tepat" Najib. Eli menyedari bahawa target sebenar adalah partinya sendiri, yang dipimpin Anwar, tokoh yang dilihat sudah "berkerat rotan" dengan Najib.

Justeru, tindakannya menawar diri meletakkan jawatan wajar dipuji. Beliau tidak mahu masalah peribadinya mengheret parti dan kerajaan Selangor ke dalam gelanggang musuh.

Dalam satu kenyataan kemudiannya, Eli menegaskan: "Negara kini sedang berdepan dengan krisis ekonomi yang serius. Kadar pengangguran semakin meningkat, manakala rasuah masih berleluasa. Saya berharap perbincangan umum hendaklah tertumpu kepada isu-isu penting ini, dan bukannya menganalisis kehidupan peribadi saya."

Kes Eli, seorang wanita yang belum berkahwin, jauh berbeza dengan Chua Soi Lek atau VP Vijandran walaupun masih berlaku perdebatan tentang batas-batas kehidupan privasi seseorang tokoh masyarakat. Ada pihak mahu penjelasan mengenai isu-isu moral antara seorang Muslim dengan bukan Muslim, apatah lagi gambar Eli itu diambil di dalam rumahnya. Polis masih menyiasat siapa dalang penyebaran gambarnya dan kita masih menunggu keputusan pimpinan KeADILan terhadap tawaran Eli untuk meletakkan jawatan.

Sehari dua ini kita dapat melihat sandiwara politik pihak tertentu yang tiba-tiba sahaja menjuarai isu moral dan agama selepas sibuk dengan isu derhaka kepada raja. Anwar awal-awal lagi melontarkan soalan: "Apakah benar isu akhlak dan moral utama buat mereka? Jika benar, bagaimana mungkin dilenyapkan bukti berkaitan kes pembunuhan, dipadamkan lapuran siasatan awal dakwaan kes Port Dickson, dilesapkan wang ribuan juta habuan istimewa dari pembelian peralatan senjata?"

Seorang pembaca dengan nada marah menelefon saya: "Sampai bila kita harus menjawab tuduhan musuh, bila pula Harakah nak menyerang? Bukannya kita tidak ada isu, melambak!" Saya tergamam seketika. Memang agak ramai yang mendesak Harakah lebih agresif menyerang Najib dan Umno-BN supaya Pakatan Rakyat tidak lagi berada dalam kedudukan defensif. Saya tidak dapat mengulas panjang selain meminta mereka bersabar: "Sampai masanya nanti posisi itu akan bertukar, tunggulah ...."

Dalam pada itu, kolumnis Harakah yang hanya mahu dikenali sebagai Banteng Hijau mengirim SMS kepada saya, di kala hening malam Rabu lalu: "Mungkinkah Pakatan, khususnya KeADILan, kini disusupi agen Najib?" Tanpa mengambil masa lama untuk menjawab, saya membalas: "Tanda-tandanya ada, Najib mahu malukan Anwar sebelum masa terlambat. Tapi PAS pun taklah kebal mana. SB juga banyak menyusup ke pejabat PAS."

(Bagaimanapun, saya tertarik dengan tulisan Toh Kin Woon, dalam The Edge. "Mungkin kita tidak bersetuju dengan ideologi PAS, tapi kita perlu tahu bahawa semua mereka yang menyertai PAS komited untuk memperjuangkan matlamat parti tersebut," katanya. Hal ini, tulis Toh Kin Woon, dapat menjelaskan mengapa kerajaan PAS mampu bertahan di Kelantan biarpun dengan kemenangan tipis mengatasi Barisan Nasional, yakni dengan majoriti satu kerusi dari 2004 hingga 2008. "Saya yakin terdapat usaha untuk membuatkan beberapa orang Adunnya untuk melompat parti tetapi tidak seorang pun didapati termakan umpan tersebut," sambungnya.)

Banteng Hijau kemudiannya menulis tentang penyusupan yang berjaya melemahkan Parti Komunis Malaya (PKM), melalui Setiausaha Agungnya sendiri, Loi Tek. Beliau berketurunan Vietnam yang menjadi agen British dan Jepun sekali gus, dan berjaya mengkhianati aktivis komunis dalam PKM hinggakan parti itu kehilangan pemimpin berkaliber akibat dibunuh British dan Jepun sebelum dan semasa Perang Dunia II.

Saya difahamkan "skuad penembak tepat" bagi menghancurkan keutuhan Pakatan Rakyat bukan sahaja dianggotai ahli dan pimpinan Umno, malah mendapat kerjasama sepenuhnya pegawai kanan kerajaan, khususnya di negeri-negeri yang mana BN kalah dalam pilihan raya umum lalu. Dan mereka dibayar upah lumayan.

Malah beberapa agensi kerajaan persekutuan, misalnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, difahamkan telah menempatkan anggotanya di pejabat-pejabat kerajaan negeri yang strategik dalam usaha membabitkan pimpinan kerajaan negeri berkenaan dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa. Satu bukti nyata SPRM terus diperalatkan Umno-BN.

Situasi sulit ini memang nampak merimaskan, namun sekiranya Pakatan dapat meloloskan diri dari perangkap Najib dan Umno-BN itu, pertarungan seterusnya belum pasti memihak siapa. Kemelut dan krisis perlembagaan di Perak misalnya tidak mudah untuk dijangka nokhtah akhirnya. Isu derhaka raja yang sengaja digembar-gemburkan media agak senang untuk "dikepak" kerana rakaman Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri begitu jelas.

Satu lagi perkembangan menarik mencelah. Tindakan Speaker Dun Perak, Sivakumar yang menggantung serta-merta Menteri Besar "haram" Perak, Dr Zambry Abdul Kadir dan melarangnya daripada menghadiri sesi Dun Perak selama 18 bulan manakala enam Exco Perak yang lain digantung selama 12 bulan daripada menghadiri sesi Dun tentu mempunyai implikasi politik dan undang-undang yang luar biasa.

Ini semua makin meletakkan Dun Perak pada kedudukan yang lebih hampir dengan pembubaran, sesuatu yang ditunggu-tunggu rakyat tetapi "lambat" dikabulkan Tuanku Sultan. _

Baca Seterusnya......

Tuesday, February 17, 2009

Nizar yang dikagumi

Memang berat ujian buat Nizar Jamaluddin. Bagaimanapun Menteri Besar Perak ini - yang dititah letak jawatan oleh Sultan Perak namun enggan berbuat demikian - yakin beliau berada di jalan yang benar. Wajahnya tetap ceria dan berseri, cuba menyembunyikan rasa letih meniti hari yang padat. Matanya merah petanda tidak cukup tidur.

Beberapa ayat awal surah ad-Dhuha menjadi rukun dalam mukadimah ucapannya, termasuk semasa wawancara eksklusif kami dengannya, juga ketika berpidato ringkas di depan Kuil Kallumaii Arul Subramaniar, Gunung Cheroh, Ipoh, pagi 8 Feb lalu.

Biarpun boleh dianggap pendatang baru dalam dunia politik, dan tiba-tiba dilantik menjadi Menteri Besar Perak, sesuatu yang tidak pernah termimpi oleh pimpinan Perak negeri itu, Nizar memang cepat belajar dan mudah menguasai persekitarannya. Berdepan tuduhan menjadi boneka DAP, menjual kepentingan Melayu, diapit tujuh Exco bukan Islam, ditambah Speaker dan Timbalan Speaker juga bukan Islam, dengan tenang Nizar mengemudi bahtera Kerajaan Negeri Perak selama 11 tahun. Justeru, tuduhan bahawa beliau kini seorang penderhaka bukan isu besar baginya.

Pada hari paling kritikal, 5 Feb, Nizar mengikuti satu program Koridor Utara di Bagan Serai bersama Perdana Menteri. Dalam ucapannya, Abdullah Ahmad Badawi langsung tidak menyebut nama Nizar walhal beliau masih seorang menteri besar. Esoknya, akhbar perdana turut "menggelapkan" kehadirannya di majlis berkenaan. Difahamkan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Anuar Zaini yang sepatutnya berada bersama Abdullah sedang rancak "mengatur nasib" Nizar di Istana Kinta. Anuar dikatakan dalang yang cuba merosakkan hubungan baik Nizar dengan istana, dan menganggu pentadbiran kerajaan negeri. Nizar sendiri pernah memaklumkan hal itu kepada Raja Nazrin Shah, rakan karib Anuar.

Menurut laporan akhbar, Nizar secara tergesa-gesa meninggalkan majlis di Bagan Serai itu untuk menghadap Sultan. Jam 12.45 tengah hari, Nizar dilihat memasuki Istana Kinta dan keluar kira-kira 20 minit kemudian dengan mengangkat tangan menunjukkan isyarat bagus sambil berkata 'insya-Allah' kepada sekumpulan wartawan. Ramai menjangkakan baginda telah memperkenan permohonan Nizar untuk membubarkan Dun.

Rupanya tidak, isyarat bagus bagi Nizar adalah tanda beliau berpuas hati dapat menjelaskan semua yang terbuku di dadanya kepada Sultan. Nizar memberitahu kami, Sultan hanya diam tunduk mendengar hujahnya.

Selama ini, sejarah pendek negara kita menyaksikan bahawa tiada tokoh politik yang "selamat" jika bertembung dengan pihak istana. Konflik dengan istana rasanya tidak pernah dimenangi oleh orang politik. Justeru, apakah kita boleh bayangkan bagaimana episod ini bakal berakhir? Ternyata Nizar sendiri sukar meramalkannya, namun membayangkan ia dapat membawa kesan positif akhirnya buat rakyat dan negara. Beliau mohon kami mengulas krisis di Perak itu dari sudut yang jarang terfikir oleh orang lain. Saya sendiri agak termangu mendengarnya.

Memang Nizar di pihak yang benar. Sultan tiada kuasa untuk menitahkannya meletakkan jawatan. Di bawah sistem Raja Berperlembagaan, Sultan juga harus tunduk dengan undang-undang dan peraturan. Baginda tidak boleh masuk campur sewenang-wenangnya dalam pemerintahan negeri. Dalam situasi genting di Perak apabila BN dan Pakatan Rakyat mempunyai jumlah kerusi yang sama, dan tiga kerusi penentu wakil Bebas sedang dirujuk ke mahkamah, baginda sewajarnya memenuhi permohonan untuk membubarkan Dun.

Ia langkah paling adil untuk semua pihak dan tidak dilihat memihak kepada mana-mana parti. Jika dirasakan Nizar sudah tidak mendapat kepercayaan majoriti Adun, baginda boleh menolak permohonan Menteri Besar itu dan membiarkan sahaja sidang Dun memutuskan undi tidak percaya kepada Nizar. Langkah baginda melantik menteri besar baru telah mengeruhkan lagi suasana dan langsung tidak membantu untuk memulihkan keadaan.

Memerhatikan dari dekat semasa beliau melawat tapak perayaan Thaipusam di Gunung Cheroh, saya yakin Nizar berjaya menawan hati rakyat Perak dari pelbagai kaum dan agama itu. Wajah orang ramai yang bersalaman dengannya, termasuk anak-anak kecil yang belum bersekolah, begitu ceria dan nampak senang sekali. Mereka bersorak gembira memanggil namanya sambil melambai-lambaikan tangan.

Malah ketika Anwar Ibrahim mengumumkan pada majlis ceramah perdana di kediaman rasmi menteri besar, saya dapat mengesan reaksi pantas hadirin dari masyarakat Tionghua. Semasa Anwar menegaskan bahawa jika berlaku pilihan raya negeri dan Pakatan menang, tiada calon yang akan dipilih menjadi menteri besar melainkan Nizar, beberapa anak muda Cina bertepuk sepuas hati. Mereka betul-betul gembira tidak terkata!

Baca Seterusnya......

Jangan biar payung dirobekkan

Sejak sekian lama institusi Raja-Raja Melayu menjadi faktor dominan yang dapat menstabilkan politik Malaysia. Terserlah kebijaksanaan para penggubal Perlembagaan kita apabila menyerahkan beberapa kuasa penting dan strategik kepada Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong, antaranya adalah pembubaran Dewan Undangan Negeri atau Parlimen dan juga perlantikan Menteri Besar atau Perdana Menteri.

Menteri Besar atau Perdana Menteri boleh mengusulkan pembubaran Dun atau Parlimen bagi diadakan pilihan raya, tetapi akhirnya ia terpulang kepada kebijaksanaan Raja-Raja Melayu untuk merumuskan keputusan. Baginda adalah payung buat seluruh rakyat jelata berteduh di bawah naungan keadilan, tanpa mengira kaum dan agama, tanpa mengenal anutan dan kecenderungan politik. Maka, yang menjadi perkiraan baginda bukannya kepentingan mana-mana parti politik yang bersaing dan bertanding dalam pilihan raya, tetapi kepentingan semua pihak agar tiada golongan yang berasa terkilan dan teraniaya.

Raja-Raja Melayu dapat bertindak sebagai pendamai yang bijak mencari jalan keluar yang benar-benar adil apabila timbul isu-isu politik yang kritikal, sepertimana yang terserlah di Perak sekarang. Sementalahan pula Sultan Azlan Shah merupakan bekas Ketua Hakim Negara yang begitu dihormati dan tidak pernah terjebak dengan hal-hal kontroversi yang banyak menimpa ketua-ketua hakim lain. Putera baginda, Raja Nazrin Shah juga dikenali sebagai anak raja yang tinggi daya intelektualnya dan cukup prihatin dengan hubungan antara istana dan rakyat. Baginda berdua agak kerap mengingatkan bahawa institusi raja akan "dimuziumkan" jika mengabaikan kehendak dan kepentingan rakyat, apatah lagi sekiranya terbabit dengan kesalahan yang boleh mengundang kemarahan orang ramai.

Berdasarkan senario di Perak, selepas tiga orang Adun Pakatan Rakyat, masing-masing dua keluar daripada KeADILan dan seorang DAP, maka jumlah Adun Pakatan dan BN sama ramai, iaitu 28 orang. Kedudukan tiga Adun berkenaan yang mengisytiharkan diri sebagai Bebas juga menimbulkan tanda tanya ekoran surat perletakan jawatan sebagai Adun yang diserahkan kepada Speaker Dun Perak. Biarpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak surat berkenaan, namun Speaker membawanya ke Mahkamah Tinggi Ipoh, menuntut tiga kerusi itu dianggap kosong.

Maka apabila Menteri Besar, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menghadap Sultan Perak mohon agar Dun dibubarkan, baginda berpeluang menjalankan keadilan untuk semua pihak yang terbabit dalam konflik ini. Pilihannya cukup mudah, iaitu menerima atau menolak cadangan Nizar. Sekiranya ditolak sekali pun, Nizar masih sah sebagai Menteri Besar, manakala Umno Perak di bawah kepimpinan baru Dato' Seri Najib Razak perlu bersabar menunggu sidang Dun terdekat, yang ditentukan pada April depan, bagi membentangkan usul tidak percaya kepada Menteri Besar.

Dikatakan Nizar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Adun, soalnya bagaimana kesimpulan mudah itu dibuat? Ia sepatutnya hanya dirujuk kepada sidang Dun untuk menentukan apakah sememangnya beliau sudah tidak mendapat kepercayaan majoriti. Ini berbeza dengan keadaan apabila belum ada kerajaan yang dibentuk atau menteri besar yang dilantik, seperti senario selepas berlangsungnya pilihan raya umum. Agak janggal apabila Sultan memanggil tiga Adun Bebas berkenaan bagi memeriksa kecondongan politik mereka. Saya tidak pasti apakah Sultan sudah mengambil alih fungsi penting sidang Dun bagi mengusulkan undi tidak percaya kepada seseorang Menteri Besar?

Apa pun, ramai berpendapat, berdasarkan kemelut semasa, Sultan sepatutnya memilih untuk bersetuju dengan cadangan pembubaran Dun bagi menyerahkan semula kepada rakyat untuk membuat pilihan. Yang mesti diutamakan ialah rakyat baginda sendiri, bukan kepentingan BN yang berpusat di Kuala Lumpur, yang tidak sabar-sabar lagi untuk merampas teraju kuasa di Ipoh. Malang sekali apabila keputusan baginda seperti mengeruhkan lagi suasana. Jalan keluar yang begitu nuetral, yang adil untuk semua pihak yang "bertelingkah" seakan terabai.

Ada pihak menimbulkan soal hak prerogatif Sultan, namun dengan rendah hati diingatkan bahawa segalanya tidak boleh dilaksanakan sesuka hati, ia tertakluk dengan peraturan dan prinsip keadilan itu sendiri. Cuba renungkan, dalam keadaan sekarang, apa sebenarnya kehendak BN dan apa pula kehendak rakyat? Dan mengapa pula, selain takut berdepan pilihan raya negeri, untuk menanti sidang Dun pun BN tidak sanggup? Apakah BN memang tidak percayakan Adun-Adunnya sendiri jika pengundian dilakukan nanti?

Melihatkan demonstrasi di Masjid Ubudiyyah, Kuala Kangsar, bersebelahan istana, 6 Februari lalu, terbukti ramai rakyat terkilan dengan keputusan Sultan sehingga sanggup mereka berbaring menghalang kenderaan raja. Hak mereka seperti direntap dan dibuang ke longkang. Justeru, amat malang apabila begitu ramai pengunjung buku pelawat laman web berkaitan Istana Perak meluahkan rasa marah, malah merakamkan kecaman yang tidak sepatutnya ditujukan kepada baginda.

Soalnya, tidak timbul pihak tertentu yang menghina institusi raja atau menderhaka kepada sultan, yang sememangnya diakui mempunyai banyak peranan positif tetapi apakah dengan beberapa keputusan yang dibuat, maka raja-raja itu dilihat menghina diri mereka sendiri. _

Baca Seterusnya......

Realiti politik masa kini dan kejutan politik Najib di Perak

Secara peribadi, lazimnya saya sukar untuk menerima dengan mudah dakwaan bahawa Umno-BN sudah hilang pengaruh dan bersiap sedia bagi dikuburkan hanya kerana sesuatu peristiwa, misalnya kalah dalam pilihan raya kecil. Saya lebih suka meramalkan kedudukan terburuk yang bakal dihadapi pembangkang supaya dapat diikhtiarkan jalan keluar sebelum terlambat. Lagi pun, kejutan selepas menang lebih indah dan nikmat berbanding terkejut kerana kalah!

Semasa pilihan raya umum 1999, ketika tuntutan reformasi hebat dilaungkan, ramai kawan-kawan menjangkakan BN akan gulung tikar. Saya sekadar menyimpan impian untuk melihat kerajaan Barisan Alternatif ditubuhkan sambil berasa resah dan bimbang takut-takut BA, seperti parti pembangkang sebelum itu, kalah dengan teruk. Meskipun akhirnya PAS dapat menguasai Terengganu, dan mengekalkan Kelantan, selain menambah kerusi 20 kerusi Parlimen menjadi 27, pengundi bukan Melayu telah menjadi penyelamat kepada BN.

Umno disifatkan bagai lembu nazak disembelih. Saya cuma mengingatkan, lembu ketika disembelih, jika tidak diikat baik-baik, akan menerajang sekuat hati dan boleh terlepas. Itulah yang berlaku sepanjang 1999-2004. Sementara pembangkang dibelasah habis-habisan, senarai daftar pengundi dimanipulasi, persempadanan semula ala gerrymandering dilaksanakan dan kepimpinan tertinggi Umno juga bertukar tangan. Dan keputusan pilihan raya 2004 cukup mengejutkan. Lebih 90 peratus kerusi Parlimen dirangkul BN. PAS hampir terlepas Kelantan, cuma menang dengan majoriti satu kerusi, dengan kelebihan dua undi!

Iklim sejuk politik

Sebenarnya saya sejak awal, dengan mengambil kira suhu politik yang suam-suam kuku, kalaupun tidak sejuk, walaupun selepas Parlimen dibubarkan, dan ini menandakan pembangkang akan menghadapi pukulan teruk. Ramai juga kawan-kawan yang tidak bersetuju dengan telahan saya itu, yang ada disiarkan dalam Harakah, malah mereka menjangkakan momentum 1999 masih bertenaga sehingga 2004.

Seorang sarjana sains politik, kalau tidak silap, lima hari sebelum pilihan raya, mahu saya memaklumkan kepada pimpinan PAS Terengganu bahawa negeri itu dalam bahaya. "PAS masih memerintah, gunakanlah apa yang mampu untuk pertahankan kerajaan negeri," katanya. Apabila saya bertanya, apa ramalannya terhadap keputusan pilihan raya nanti. Pantas beliau menjawab, sama sahaja dengan keputusan 1999, tetapi cuma terbalik, iaitu kalau dulu BN dapat 4 kerusi Dun dan hilang semua kerusi Parlimen, kali ini PAS pula akan mengalami nasib sama. Menakjubkan sekali kerana ia begitu tepat.

Sebelum itu, pengalaman pedih menyaksikan PAS hanya mampu menang satu kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 1986 membuatkan saya terlalu berhati-hati untuk memberi harapan besar kepada pembangkang. Itulah pengalaman pertama PAS di bawah kepimpinan ulama menyertai pilihan raya. Percubaan untuk merampas kembali Kelantan, yang terlepas sejak 1978, juga gagal. Serangan media perdana terhadap PAS yang membina persefahaman dengan beberapa parti kecil dan CCC cukup dahsyat, sehingga ia mencetuskan idea bagi PAS menerbitkan akhbarnya sendiri.

Gelombang kemarahan ahli-ahli Umno sendiri kepada Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan parti itu pada 24 April 1987, yang mencetuskan pembentukan Team A dan Team B, seterusnya melahirkan Parti Semangat 46 juga tidak mampu menobatkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri dalam pilihan raya 1990. Peristiwa sigah Kadazan yang ditohmah berlambangkan salib, yang dipakai Ku Li ketika berkempen di Kota Kinabalu, mengubah senario yang pada awalnya menyebelahi Angkatan Perpaduan Ummah. Di luar Kelantan, Angkatan kalah teruk, malah prestasinya di Kedah lebih rendah berbanding kedudukan dalam pilihan raya sebelumnya, pada 1990.

Kebimbangan bertukar

Bagaimanapun, realiti Mac 2008, iaitu pilihan raya umum ke-12, dan diikuti dua pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu mengubah kebimbangan saya selama ini. Malaysia memang betul-betul berada di ambang babak perubahan yang besar. Era lama yang dibentuk lebih 50 tahun selepas merdeka bakal berakhir. Rakyat Malaysia, dari pelbagai kaum dan lapisan umur, cukup dahagakan pembaharuan. Umno bagaikan dimamah sejarah.

Kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail agar Umno menyusun semula struktur organisasinya dengan memansuhkan sayap-sayap parti, iaitu Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri, jika ia benar-benar serius hendak menghapuskan gejala politik wang, bukan sesuatu yang mengejutkan. Ia selari dengan persepsi umum bahawa zaman Umno sebagai pemerintah hampir tamat. Ahli-ahli parti itu harus bersedia untuk menjadi pembangkang.

Tengku Ahmad Rithauddeen tentu mempunyai banyak maklumat ekoran aduan politik wang yang dikumpulnya. Beliau mengakui sudah berfikir panjang sebelum membuat cadangan agar sayap-sayap Umno itu dibubarkan. Pada 6 November 2008, dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, beliau "meminta pucuk pimpinan Umno segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran berikutan berleluasanya politik wang pada pemilihan yang disifatkan paling serius dengan lebih 900 aduan diterima setakat ini". Tambahnya, "masalah utama dalam membanteras politik wang dalam Umno ialah gejala buruk tersebut diterima sebahagian besar ahli parti itu dan sudah menjadi satu bentuk budaya".

Beliau juga pasti mempunyai bukti yang cukup apabila menegaskan: "Saya dok fikir perlukah ada Puteri dan Putera kerana lagi ada Puteri dan Putera banyak lagi duit dok main." Ahli-ahli Umno pada usia muda sudah dilazimkan dengan amalan rasuah membeli undi dan ini sudah cukup untuk menggambarkan masa depan parti itu yang gelap-gelita. Mereka sudah pandai menagih upah sebelum melakukan kerja-kerja parti.

Masakan tidak, anak-anak muda ini melihat sendiri "abang-abang, kakak-kakak, ibu-ibu dan bapa-bapa" mereka mudah mengumpulkan dana melalui kedudukan strategik dalam Umno dan hubungan intim dengan pimpinan atasan.

PAS, bersedialah untuk memerintah

Dalam pada itu, seorang profesor yang melakukan kajian dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu memberitahu saya: "Lutfi, tolong beritahu pimpinan PAS, bersedialah untuk menjadi parti pemerintah bersama Pakatan Rakyat, carilah pasukan terbaik PAS untuk ditawarkan kepada rakyat dalam pilihan raya akan datang."

Saya turut tertarik dengan analisis sekumpulan pengkaji dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, yang turut dianggotai Prof Dr Mohd Redzuan Othman, tentang pilihan raya kecil Permatang Pauh. Dalam buku setebal 155 muka, mereka merumuskan jika kecenderungan pengundian di Permatang Pauh berterusan, tidak mustahil dalam pilihan raya umum ke-13, kawasan pilihan raya yang dimenangi oleh BN dengan majoriti kecil (1,000 - 3,000 undi) akan jatuh kepada tangan pembangkang.

Jika PAS, KeADILan dan DAP mula bertindak sebagai "kerajaan menanti" dan bersedia dari segenap aspek untuk menjadi alternatif terbaik, seterusnya bijaksana menghadapi cabaran baru dalam gabungan lebih mantap, maka kebimbangan lama saya juga mudah terhakis.

Bagaimanapun, kerisauan saya timbul kembali apabila membaca kenyataan Pengerusi Perhubungan KeADILan Negeri Perak, Osman Abdul Rahman pada 31 Januari bahawa dua Adun KeADILan yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Perak hilang dan tidak dapat dikesan sejak empat hari lalu.

Kejutan politik di Perak

Malaysiakini juga melaporkan, desas-desus mula bertiup kencang bahawa kedua-dua Exco berkenaan, Jamaluddin Mat Radzi dan Osman Jailu berada di Pekan, Pahang dalam usaha berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Razak di kediamannya. KeADILan Perak juga mendakwa Najib sedang berunding dengan mereka agar menyertai BN, termasuk untuk menggugurkan kes rasuah terhadap mereka yang ditahan Ogos tahun lalu.

Saya cuba mengambil sikap tunggu dan lihat. Tidak semudah itu suasana politik bertukar. Dan tidak semudah itu juga kerajaan Perak bertukar tangan memandangkan mood rakyat untuk melihat perubahan dilaksanakan cukup kuat. Apa pun dalam politik segalanya serba mungkin.

Sepantas kilat teringat saya usikan seorang kawan lima bulan lalu ketika semua sibuk berbicara soal ura-ura peralihan kuasa 16 September. Katanya, "Anwar kena cepat usahakan agar ahli-ahli Parlimen BN menyeberang ke Pakatan Rakyat untuk tubuh kerajaan baru. Nanti, bila Najib jadi PM, dia akan bertindak agresif berusaha membeli wakil-wakil rakyat Pakatan pula."

Sememangnya Najib dalam keadaan tertekan sekarang, khususnya selepas BN yang diketuainya kalah berganda di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Beban sejarah politiknya juga cukup berat untuk diseret ke Seri Perdana. Isterinya juga mempunyai beban tersendiri. Najib perlukan suatu keajaiban agar peralihan kuasa daripada Abdullah Ahmad Badawi kepadanya dua bulan lagi nampak betul-betul berseri dan dapat memikat imiginasi dan keyakinan rakyat.

Usah remehkan keupayaan Najib dalam mencaturkan politik. Bukankah mentornya, Dr Mahathir Mohamad, yang mengkagumi Niccolo Machiavelli, terkenal dengan kelicikan berdepan situasi sulit, dengan menggunakan apa juga kaedah yang membelakangi etika dan moral?_

Baca Seterusnya......

Umno jadi pembangkang, Pakatan perlu sedia jadi pemerintah.

Semua pihak mengakui bahawa Umno kini hadapi saat-saat paling sukar dan paling getir. Bukan ia tidak pernah lalui zaman-zaman gerhana sebelum ini tetapi suasana mendung sekarang jauh berbeda.

Ragam rakyat, khususnya pengundi, juga berlainan. Minda mereka lebih kompleks. Kesedaran berpolitik juga bertambah matang. Mereka semakin terbuka dengan pendedahan luar. Manakala perubahan yang digembar-gemburkan pimpinan Umno hanya retorik.
Prestasi hambar

Pemimpin, aktivis dan penyokong Umno riuh-rendah mengulas prestasi hambar parti itu dalam pilihan raya umum ke-12, Mac 2008. Pencapaian rakan-rakannya dalam BN, terutama MCA dan MIC, lagilah teruk.

Selain kritikan pedas Dr Mahathir Mohamad, ramai juga pimpinan Umno sendiri melakukan muhasabah dan kritikan terbuka. Presidennya, Abdullah Ahmad Badawi dianggap penyebab utama kegagalan Umno. Desakan agar beliau berhenti tidak mudah diredakan.

Seperti lazimnya, timbalan beliau, Najib Razak dalam diam mengambil peluang. Abdullah yang kesempitan dibiarken kelemasan. Akhirnya pelan peralihan kuasa yang sepatutnya berlangsung 2010 terpaksa dipercepatkan ke bulan Mac akan datang.
Lima bulan selepas pilihan raya umum lalu, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden KeADILan mengosongkan kerusi Permatang Pauh. Dalam pilihan raya kecil itu, Anwar Ibrahim memang dijangka menang mudah tetapi pemimpin karismatik berkenaan berjaya meningkatkan majoriti isterinya meskipun serangan peribadi terhadap beliau dipertingkatkan.

Najib terduduk

Sebagai penerajui kempen BN yang berkampung di kubu Anwar, Najib terduduk. Belum pun duka diubati, keputusan pilihan rayaa kecil Kuala Terengganu 17 Januari lalu menambah bisa dan pedih Najib. Kerusi Parlimen Umno di negeri yang dikuasai BN ditawan PAS.

Soalnya, apakah Umno yang gering kini mampu sembuh selepas musim beredar? Mungkinkah kes yang menimpa Wan Ahmad Farid Wan Salleh merupakan suatu pengecualian atau jika calon lain dipilih BN, maka Pakatan Rakyat mungkin dapat dikecewakan? Benarkah seperti kata A Kadir Jasin, "Umno masih jauh daripada fasa nazak"? Rasionalkah telahan Mahathir bahawa "semua isyarat menunjuk bahawa Umno akan ditewas dan hancur dalam pilihan raya umum ke-13"?

Sebagai ahli PAS dan petugas Harakah yang turun mengikuti kempen pilihan raya Kuala Terengganu tempoh hari, turut merasai debar menanti keputusan diumumkan, pastinya saya mengharapkan andaian Mahathir itu menjadi realiti walaupun banyak idea dan pendirian bekas Perdana Menteri itu sukar saya terima.

Umno hampir pasti jadi pembangkang

Saya juga mengharapkan pendapat Kadir Jasin itu tersasar; Umno memang gelisah menghadapi nazak dan saatnya menjadi parti pembangkang di seluruh negara hampir tiba. Naluri kewartawanan saya juga merasai detik PAS dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa makin dekat.

Bagaimanapun, ia tidak semudah itu. Memang Umno yang sakit belum tentu disembuhkan segera. Begitu juga, PAS dan Pakatan Rakyat yang menang belum pasti secara automatik dapat menggantikan Umno-BN dalam pilihan raya akan datang. Harapan dan impian satu hal yang berbeda dengan cabaran untuk mencapai cita-cita kudus itu.

Hanya kerana parti pemerintah yang seusia dengan Umno sudah menyembah bumi, seperti berlaku di negara-negara lain, namun tidak bermakna PAS bersama Pakatan Rakyat dapat mengambil alih posisi itu dengan mudah.

Umno sendiri mungkin sudah menyediakan resepi secukupnya untuk parti berkenaan digulung sejarah. ia semakin dilihat tidak relevan dan ketinggalan zaman, satu tuduhan yang dahulunya dilemparkan kepada parti-parti pembangkang.
Soalnya, di mana kedudukan PAS dan Pakatan Rakyat hari ini? Bagi saya, seperti ungkapan Musa Hitam, Umno kini menghidap penyakit tua, namun tidak bermakna orang tua mati lebih awal daripada golongan remaja misalnya.

Kemampuan menyesuaikan diri

Keupayaan PAS-Pakatan membentuk sejarah menerajui pemerintahan negara lebih ditentukan oleh parti berkenaan untuk menyesuaikan dirinya dengan tuntutan semasa dan perubahan zaman, lebih daripada mengharapkan Umno perlahan-lahan mati dengan sendirinya.

Sejauh mana selama hampir setahun ini PAS-Pakatan dapat membuktikan komitmen membela kepentingan rakyat, memenuhi segala janji dalam manifesto pilihan raya lalu, menyuntik keyakinan bahawa ia mampu melaksanakan dasar dan rancangan kerajaan yang lebih baik, juga tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan wakil-wakil rakyat Umno-BN?

Apakah pimpinan PAS tetap mesra rakyat, turun mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat, tidak meninggi diri walaupun sudah menerajui negeri, tetap hidup sederhana meskipun boleh bermewah-mewah, mengelak dari dilihat sombong dan angkuh dengan kuasa?
Bukti di saluran mengundi

Anak muda dan golongan belia, seperti dibuktikan melalui saluran mengundi tertentu di Kuala Terengganu, sememangnya menolak BN. Kecenderungan ini berakar dan berlanjutan daripada trend mengundi, Mac 2008.

Sifat orang muda yang terbuka dengan maklumat, kritis terhadap persekitaran, ghairah dengan perubahan, pantang diperbodohkan, bersedia untuk menyanggah, membuka jalan untuk Pakatan bertapak lebih kukuh.

Jumlah pengundi muda ini semakin ramai. Dianggarkan menjelang pilihan raya ke-13, tiga tahun akan datang, dua juta pengundi baru bakal menjadi pemilih berdaftar.
Kesedaran berpolitik yang lebih matang akan mendorong empat juta lagi rakyat yang selama ini tidak mendaftar untuk berbuat demikian. Sudah tentu Umno bertambah gerun menghadapi ketidak-tentuan ini.

Walaupun Abdullah berundur dan Najib melakukan re-branding terhadap Umno, saya yakin imiginasi pengundi muda tidak mudah untuk bersama bakal Presiden Umno itu. Malah, imej buruk dan membusuk Umno tidak dapat dipulihkan Najib hanya dengan usaha-usaha kosmetik, apatah lagi bagasi sejarahnya cukup berat untuk diheret.
Umno sukar dipulih

Melalui media, kelihatan ada tekanan supaya Umno segera berubah sebelum ia ditolak pengundi. Pandangan kritis memulihkan Umno disiarkan walaupun ia umpama ubat yang pahit yang sukar ditelan. Ahli-ahli diperingatkan bahawa tanpa kuasa Umno tiada sebarang makna.Pimpinan Umno tentu sedar tentang derita penyeksaan apabila kuasa terlucut dan payahnya merangkul kembali.

Pilihan buat rakyat semakin jelas. Dulu BN sukar digugat kerana rakyat tidak nampak siapa alternatifnya. Lorong penyediaan sistem dua parti semakin luas dan hampir menjadi realiti.

Signal penubuhan Majlis MB-KM

Parti-parti bukan BN menunggu masa untuk digabungkan secara legal dalam Pakatan Rakyat. Halangan mendapatkan tujuh ahli dalam gabungan itu rasanya mudah dileraikan sekarang. Kesediaan parti-parti dalam Pakatan untuk berbincang tentang perbezaan dan bersetuju dengan persamaan kian terserlah. Penubuhan majlis Menteri Besar dan Ketua Menteri lima negeri Pakatan Rakyat adalah signal awal yang "cukup menjanjikan".
Saya memang berdoa agar impian ini mudah direalisasikan. Mudah-mudahan. _

Baca Seterusnya......

Saturday, January 24, 2009

Pengundi Melayu berani berubah, peluang PAS lebih cerah

Sejak awal, pengundi Cina dilihat faktor penentu di Kuala Terengganu. Mereka mewakili 10.9 peratus daripada 80,229 pemilih. Pelbagai strategi diatur oleh setiap calon dan parti yang bertanding bagi meraih simpati dan sokongan masyarakat Tionghua.
Menyedari majoriti kemenangan Allahyarham Razali Ismail pada Mac 2008 hanya 628 undi, dan jumlah undi untuk calon-calon PAS dan KeADILan dalam empat kerusi Dun di bawah Parlimen Kuala Terengganu memihak Pakatan Rakyat - dengan kelebihan lebih 2,200 undi - yang menjadikan persaingan begitu sengit, maka setiap segmen pengundi tentulah tidak boleh diremehkan. Setiap undi terlalu berharga.
Penolakan masyarakat bukan Melayu
Secara umumnya, kekalahan BN di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor dalam pilihan raya ke-12, Mac 2008, disumbangkan oleh penolakan menyeluruh pengundi Cina dan India. Hampir semua calon BN kalah di kawasan majoriti Cina dan campuran. Untuk Dun Perak, semua calon DAP menang. Malah di Kedah, lebih satu pertiga kerusi Dun yang dimenangi PAS datangnya dari kawasan pengundi campuran, yakni bukannya dari kubu tradisi PAS di kawasan majoriti pengundi Melayu. Beberapa kerusi yang dimenangi PAS dalam pilihan raya 1999 gagal direbut semula.
Fenomena hampir sama berlaku di Perak dan Selangor. Meskipun PAS dapat membentuk kerajaan negeri di sana bersama-sama DAP dan KeADILan namun kawasan majoriti Melayu, terutama di luar bandar, masih dipegang Umno. Maka kita dapat saksikan dalam persidangan Dun Perak dan Selangor, barisan pembangkang hampir semua, kecuali seorang, adalah daripada Adun Umno.
Justeru, ada pihak menyifatkan bahawa bukan sahaja tsunami politik Mac 2008 tidak melanda Terengganu, malah sebahagian besar pengundi Melayu di seluruh negara juga tidak mendapat tempiasnya. Berbanding pilihan raya 1999, ketika era reformasi hebat bergejolak selepas Anwar Ibrahim dipecat secara mengaibkan, dikatakan hampir tujuh daripada sepuluh pengundi Melayu menolak Umno. Amarah mereka kepada parti yang diterajui Dr Mahathir Mohamad itu nampak ketara.
Antara kesannya, BN Terengganu tumbang. Hanya empat daripada 32 kerusi Dun dapat dipertahankan BN manakala semua kerusi Parlimen di negeri itu jatuh ke tangan Barisan Alternatif. Di Kedah, PAS menang lapan kerusi Parlimen, sedangkan Umno hanya lima.
Keberanian pengundi Melayu
Analisis pola pengundian di Kuala Terengganu 17 Januari lalu sememangnya cukup menarik. Ia bukan hanya riuh di sekitar majoriti tidak terduga Abdul Wahid Endut, iaitu 2,6321 undi, tetapi mesej yang ditunjukkan pengundi Melayu perlu diperhalusi. Kepercayaan terhadap PAS sebagai pengganti Umno, khususnya dari kalangan anak-anak muda, dizahirkan.
Ketua Wanita Umno Terengganu, Wan Ramlah Wan Ahmad, sendiri mengakui ramai pengundi wanita, termasuk dari kalangan penyokong Umno sendiri menolak calon BN. Benteng Umno yang nampak kukuh 10 bulan lalu di Terengganu berjaya dirobek. Memerhatikan gelagat petugas Umno-BN sepanjang kempen, ternyata ia gagal menarik minat pengundi muda. Sukar mencari orang muda yang ghairah mahu berkempen memenangkan calon BN walaupun pastinya jentera parti berkenaan mempunyai kelebihan dari segi material.
Corak dan pendekatan kempen "kitar semula" meletakkan Umno berada jauh di posisi belakang. Pendekatan 3M (media, jentera kerajaan dan wang) yang begitu berkesan satu ketika dahulu sudah hilang sentuhan keramatnya.
Perincian di saluran mengundi menunjukkan tahap sokongan pengundi di bawah umur 35 tahun terhadap BN menurun hampir lima peratus.
Beberapa pengkaji yang meneliti fakta pengundian merumuskan bahawa ada peningkatan ketara sokongan pengundi Melayu kepada PAS baru-baru ini walaupun tumpuan awal lebih banyak difokuskan kepada pengundi Cina. Ia bukan semata-mata difaktorkan oleh personaliti calon BN yang dikatakan kurang mesra, nampak sombong atau bersifat elitis, tetapi berpunca dari imej negatif Umno-BN itu sendiri. Walhal ramai juga calon-calon BN yang mempunyai perwatakan seperti Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Selepas kalah, ketua kempen BN, Najib Razak cuba meletakkan bebanan hanya kepada Wan Farid, sedangkan beberapa sarjana politik yang meninjau suasana kempen sendiri mengakui hakikat bahawa Umno sememangnya sukar berubah walaupun menyedari ia di ambang kepupusan.
Najib seperti mahu menggambarkan bahawa yang ditolak rakyat adalah Wan Farid (kebetulan calon BN itu adalah kroni rapat Perdana Menteri) bukannya Umno-BN ataupun dirinya sendiri. Jika Abdullah Ahmad Badawi sempat juga menjadi Perdana Menteri dua penggal, ramai menjangkakan tempoh perkhidmatan Najib sebagai PM mungkin lebih singkat. Ditambah pula beban Najib yang sedia berat, termasuk beberapa isu mengenai personalitinya sendiri, selain kes-kes yang cuba dikaitkan dengan beliau, misalnya pembunuhan gadis Mongolia, Altantunya Shaariibu.
Mesej pengundi Cina
Dalam pada itu, kemerosotan sokongan pengundi Cina terhadap PAS dipercayai kerana ramainya pengundi luar tidak pulang ekoran tarikh Tahun Baru Cina yang begitu hampir. Kebanyakan pengundi luar dari Pantai Barat itu mempunyai kecenderungan untuk mengundi pembangkang, selari dengan mood Mac 2008.
Masyarakat Tionghua Kuala Terengganu pula dikatakan tidak mahu dituding jari sebagai penyebab kekalahan BN ketika tiada isu kontroversi mendominasi kempen, sepertimana isu Suqui dalam pilihan raya kecil Lunas dahulu. Bagaimanapun, mereka tidak mudah lagi digertak dengan "isu-isu jadian" seperti hukum Hudud, malah ada pengundi Cina di kawasan yang kadar jenayahnya tinggi mengatakan, "apa salahnya kita cuba laksanakan Hudud untuk atasi kes jenayah berat yang makin berleluasa".
Bagaimanapun, bagi saya, penyertaan aktif pemimpin utama DAP seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dan beberapa tokoh lain seperti Teresa Kok dan Exco Kanan Kerajaan Perak, Ngeh Koo Ham, sejak hari penamaan calon, seterusnya selama 11 hari berkempen, sudah cukup mengembirakan penyokong Pakatan Rakyat.
Seperti kata Guan Eng, dalam sidang akhbar lima hari sebelum hari mengundi, bahawa persepakatan yang terjalin antara PAS, DAP dan KeADILan di Kuala Terengganu - walau apa pun keputusan pilihan raya kecil itu - merupakan satu kejayaan awal yang mencatat sejarah.
Fitnah Umno tertolak
Apa pun saya lebih tertarik dengan perubahan undi orang Melayu di Kuala Terengganu. Selama ini dibimbangi mereka termakan fitnah Umno yang giat memberi gambaran buruk dan jelik, misalnya melalui Utusan Malaysia, seolah-olah kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah "mengkhianati" kepentingan Melayu. Lihat saja isu ternakan babi di Selangor serta Kedah, dan penyerahan geran kepada penduduk kampung baru di Perak. Jentera propaganda Umno mahu menunjukkan bahawa PAS kini berada di bawah telunjuk DAP walaupun wakilnya menjadi Menteri Besar di Perak dan Exco Kanan di Selangor.
Mengimbas kembali pilihan raya 1999, saya yakin pengundi Melayu mampu "mengajar" sekali lagi Umno, dan kali ini mereka nampaknya tidak bersedia untuk memberi peluang ketiga buat parti di bawah pimpinan Najib itu nanti.
Ketika itu, PAS bukan sekadar berupaya untuk menguasai kembali Terengganu, malah mampu menambahkan bilangan kerusi majoriti Melayu di Kedah, Perak, Selangor dan juga Pulau Pinang.
Apabila halangan psikologi dalam minda pengundi Melayu sekarang dapat dibuang, dan persepsi mereka terhadap PAS menjadi lebih positif sehingga parti Islam itu dilihat dapat menggantikan Umno, maka laluan Pakatan Rakyat menuju Putrajaya, insya-Allah lebih mudah lagi.
Justeru, usaha mengekalkan momentum kemenangan PAS di Kuala Terengganu harus diaktifkan ke seluruh negara bermula daripada sekarang. _
Baca Seterusnya......

Najib gagal baca amaran awal kekalahan?

SEBELUM diisytihar menang pun, penampilan Mohd Abdul Wahid Endut sebagai calon PAS, mewakili Pakatan Rakyat, sudah menempa sejarah tersendiri. Pemilihannya memang tidak dijangka. Namanya dicalonkan di peringkat awal, tetapi khabarnya beliau sendiri menarik diri, untuk memberi laluan kepada tokoh-tokoh lain, dan antara yang disebut-sebut ialah Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Adun Batu Burok yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu (1999-2004) dan Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Negeri.
Sejarah dibentuk lagi kemudiannya apabila persepakatan erat Pakatan Rakyat terserlah bermula dari hari penamaan calon, semasa kempen hinggalah hari pembuangan undi. Rasanya inilah kali pertama pimpinan utama DAP, diketuai Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng aktif berkampung di kawasan majoriti Melayu, dan lebih menarik ia terletak di Kuala Terengganu.
"Cantiknya ia berlaku di Terengganu"
Apabila turun mengatur strategi dan berkempen bersama, tentulah "yang jauh dapat didekat, yang dekat dapat dimesrakan". Ada dakwaan mengatakan pimpinan PAS Terengganu agak tidak begitu "dekat dan mesra" bukan saja dengan pemimpinan DAP, malah KeADILan.
Sementara kemenangan dengan majoriti tidak terduga Abdul Wahid, iaitu 2,632 undi, disambut gema takbir (dan kemudiannya ratusan anak muda meraikannya di jalan-jalan sekitar bandar), Timbalan Presiden Umno, Najib Razak, yang mengemudi jentera kempen BN pasti terkedu dengan kekalahan bergandanya.
Permatang Pauh mungkin tidak memalukannya tetapi Kuala Terengganu nyata memberi tamparan hebat buat bakal Perdana Menteri, yang dijangka naik takhta Mac nanti.
Permatang Pauh dikenali sebagai kubu kuat Anwar Ibrahim sejak 1982 lagi, terletak pula di negeri Pakatan Rakyat. Sementara Kuala Terengganu milik Umno-BN, di negeri Terengganu yang mana BN menang besar dalam pilihan raya umum ke-12, menghadang ombak tsunami politik yang menghempas Pantai Barat.
Lebih perit buat BN di Kuala Terengganu
Di Permatang Pauh calon BN kekurangan 1,426 undi berbanding pilihan raya 2008 tetapi di Kuala Terengganu, "orang kuat" Abdullah Ahmad Badawi, undi Wan Ahmad Farid Wan Salleh merosot 2,320 berbanding penyandang, Allahyarham Razali Ismail.
Najib diakui bekerja keras sepanjang 11 hari berkempen, menawarkan pelbagai impian, menyogok tawaran, dan mengetuk pintu demi pintu, bagi memastikan momentum kejayaan gemilang Anwar tidak merebak ke Pantai Timur.
Kini reputasi Najib - dan BN yang bakal dipimpinnya - dipercayai tambah gelap memandangkan bagasi sejarah beliau juga begitu membebankannya. Igauan Altantunya Shaariibu masih menghantui Najib hinggakan mereka yang manampal gambar gadis Mongolia itu di Kuala Terengganu pun ditahan polis.
Umno di bawah terajunya nanti dijangka berdepan masalah dalaman lebih parah. Secara umumnya, imej peribadi calon BN, Wan Farid Salleh, yang dikatakan "sombong, tidak mesra, elitis, bersifat bangsawan" boleh menggambarkan imej Umno-BN sekarang.
Malang sekali, Najib dan juga jentera kempen BN tidak pernah berubah; mereka seolah-olah langsung tidak mengambil iktibar pengalaman pahit pilihan raya Mac 2008 yang menyaksikan lima negeri jatuh dan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dinafikan.
Seperti ditegaskan sarjana politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Ghazali Mayudin, yang menghantar artikelnya kepada saya pada awal pagi 17 Januari, di waktu pusat mengundi baru dibuka: "Strategi dan tindakan BN untuk memenangi hati pengundi di KT menampakkan yang parti itu seakan terperangkap dalam penjara yang dibinanya sendiri. Setelah memenangi puluhan pilihan raya, umum atau kecil, dengan skrip yang sama semenjak merdeka, maka skrip lama ini juga yang digunakan dalam pilihan raya abad ke-21 ini." Maknanya Ghazali menulis artikel itu, yang sudah merumuskan punca kekalahan BN, sebelum pemilih berdaftar membuang undi lagi.
Ramalan sarjana politik terbukti tepat
Bukan Ghazali seorang yang begitu yakin PAS boleh menang, malah beberapa pengkaji dan sarjana politik lain sudah meramalkan begitu. Ketua Program Sains Politik UKM, Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusoff, empat hari sebelum mengundi, memaklumkan kepada saya: "Lutfi, pegang cakap-cakap saya ini, PAS boleh menang sehingga majoriti 3,000 undi!" Seorang lagi pensyarah sains politik, Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin, melalui siaran langsung TV, berdasarkan tinjauannya, juga dengan penuh yakin menjangkakan PAS bakal menang.
Semasa kempen, berdepan masyarakat Tionghua, yang dikira undi penentu, BN terus menakutkan mereka dengan isu Hudud walhal dalam pilihan raya umum lalu, khususnya di Pantai Barat, pengundi Cina dan India tanpa segan silu menyelimuti bendera PAS di tubuh mereka, sambil giat berkempen memenangkan Pakatan Rakyat. Seorang pemimpin muda MCA Cheras, melalui siaran Astro Awani menegaskan, "politik ugut dan gertak" menggunakan isu Hudud sudah tidak berkesan lagi.
Politik "pembangunan dan keselamatan" dengan gaya lama adalah konsep kuno yang tidak lagi sesuai dengan dunia siber dan langit terbuka ini. Benar seperti kata A Kadir Jasin, BN yang sudah terlalu lama berkuasa sudah begitu sukar berubah: "Mereka tetap menggunakan taktik lama yang sama. Memang ada janji untuk melakukan bedah-siasat atas kekalahan Mac 2008 tetapi apabila didapati post-mortem itu menikam pemimpin atasan, ia terus dilupakan. Jadi, tidak hairanlah jika ada ahli Umno sendiri yang mendoakan BN kalah di Kuala Terengganu."
Di pihak Pakatan Rakyat pula, diharap hubungan erat semasa kempen dapat diinstitusikan. Lima negeri Pakatan harus menyerlahkan bentuk kerjasama yang boleh memberi banyak manfaat buat rakyat.
Persefahaman mantap Pakatan
Tidak mudah berdepan ketidak-tentuan ekonomi dan cabaran lain yang lebih sengit dalam waktu terdekat, namun dengan persefahaman pimpinan Pakatan di peringkat pusat dan negeri terbabit, segala kemelut mudah dirongkai.
Lebih menarik, "Pengisytiharan Mentaloon" dikeluarkan pada 18 Mac, sehari selepas pilihan raya kecil Kuala Terengganu, membabitkan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri lima negeri Pakatan Rakyat, bertempat di kediaman Menteri Besar Kedah, di Sri Mentaloon, Alor Setar.
Impian rakyat untuk menikmati kehidupan lebih baik di bawah Pakatan begitu tinggi. Segala tawaran dalam manifesto masih ada yang belum tertunai. Masa Umno-BN sudah berlalu.
PAS terbukti dapat melalui ranjau dengan cemerlang sekali. KT bukan sahaja membuka laluan untuk menguasai kembali Terengganu, malah menunjuk jalan lurus ke Putrajaya, insya-Allah.
Dan terbukti penangguhan cetakan Harakah edisi Jumaat, Bil 1408, daripada pagi Sabtu kepada pagi Ahad, bagi menunggu keputusan pilihan raya, adalah langkah tepat! Kami tidak mahu terlewat untuk merakam satu sejarah baru dalam politik Malaysia._
Baca Seterusnya......